JOHOR BAHRU – Seorang lelaki menggunakan kenderaan mewah bagi menghantar dan menyimpan arak tidak bercukai untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua apabila menahan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dalam kawasan Taman Plentong Utama, Masai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, Toyota Vellfire warna hitam itu ditahan dan diperiksa di tepi jalan pada pukul 10 pagi selepas dipercayai membawa minuman keras tidak bercukai.
“Hasil penahanan itu pihak polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun kerana memiliki 205 kotak minuman keras pelbagai jenis dipercayai tidak bercukai.
“Anggaran nilai rampasan arak ialah RM200,164. Turut dirampas Toyota Vellfire berkenaan bernilai RM150,000 yang digunakan untuk membawa minuman keras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE