ALOR SETAR – Kanak-kanak autistik berusia tujuh tahun yang ditemukan di tebing Sungai Kedah dipercayai lemas menunjukkan perubahan sikapnya sejak sebulan lepas apabila tiba-tiba menjadi terlalu manja dengan ibunya.
Menurut ibu mangsa, Nuradila Azhar, 38, Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle juga tidak lagi mengendahkan telefon yang selalu dipegangnya seperti selalu sebaliknya bermain dengan adik-beradiknya yang lain.
“Saya memang terasa perubahan sikap Firash itu sejak sebulan lepas. Bila malam dia nak tidur sebantal dengan saya tidak seperti selalu dia akan tidur berasingan. Saya pun rasa berdebar-debar dan tertanya-tanya apatah lagi dia juga tidak mahu bermain dengan telefonnya lagi.
“Saya cuba memikirkan yang baik-baik sahaja kemungkinan perubahan sikap itu adalah kerana dia sudah semakin dewasa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Bercerita tentang kejadian semalam, kata Nuradila, dia menyedari kehilangan Firash kira-kira pukul 5 petang semalam sebelum menemukan pakaian dan lampinnya di dalam longkang depan rumah mereka.
“Saya tidak pasti pukul berapa Firash keluar dari rumah tetapi pada pukul 5 petang saya sedar dia sudah tidak ada sebelum terjumpa pakaian dan lampinnya di longkang depan rumah. Saya terus meminta bantuan mencarinya.
“Firash tidak pernah keluar dari rumah sendiri kecuali ditemani saya dan neneknya sebab dia tidak suka suasana yang bising-bising,” katanya.
Menurut suri rumah ini, dia dan suaminya, Muhammad Hafeez Ansle Abdullah, 37, reda dengan pemergian anak bongsu daripada empat beradik itu.- KOSMO! ONLINE