PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa apabila mendapati layanan orang sekeliling berubah secara drastik selepas dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 27 kilogram.
Menurut perkongsian oleh @izzahattirah di Threads, perubahan ini membuatkan dia tersedar betapa pentingnya rupa fizikal dalam masyarakat, sehingga nilai seseorang sering diukur berdasarkan penampilan luaran.
“Masa saya dah kurus, baru orang nak nampak saya. Tiba-tiba semua orang jadi lebih baik dengan saya. Ada kawan sekolah lama cakap, patutlah saya ada teman lelaki sekarang sebab dah cantik,” katanya.
Bagaimanapun, kata-kata itu membuatkan dia merasa seolah-olah semasa dia gemuk dulu, dia tidak layak dilayan dengan baik atau mendapatkan pasangan.
“Jadi, maksudnya bila saya gemuk, saya tak cantik? Tak layak dapat layanan baik? Nilai saya cuma berdasarkan berat badan dan rupa?” tambahnya.
Dia juga berkongsi beberapa perkara yang mengejutkannya selepas kurus, seperti menerima perhatian lebih daripada lelaki, menjadi mangsa ‘catcalling’ dan mendapati wanita pun lebih mesra dengannya.
“Tapi sedih bila fikir, masyarakat kita terlalu pentingkan rupa sampai tak pandang keperibadian seseorang. Saya masih orang yang sama, cuma badan dah berubah,” katanya.
Walaupun begitu, dia menjelaskan bahawa teman lelakinya sekarang mencintainya dengan ikhlas tanpa mengira fizikalnya.
“Saya tahu dia sayang saya seadanya. Tapi bila tengok layanan orang lain berubah, saya jadi tertanya-tanya, kalau dia jumpa saya masa saya gemuk dulu, adakah dia tetap akan suka saya?”
Dia mengakui perubahan ini memberi kesan besar pada cara dia melihat dirinya sendiri, tetapi dia masih cuba untuk belajar menerima diri seadanya.
“Saya tahu kita kena sayang diri sendiri. Tapi bila dah lama hidup dengan standard kecantikan macam ni, memang susah nak ubah cara fikir,” luahnya. – KOSMO! ONLINE