fbpx

Cari alternatif kurang kebergantungan ubat luar negara – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (gambar) ketika berucap pada Majlis Pelancaran Blok Baharu Hospital Pakar KPJ Penang di Bukit Mertajam, hari ini.

SEBERANG PERAI – Sektor kesihatan awam dan swasta disarankan melabur di syarikat tempatan yang memiliki keupayaan mengeluarkan ubat-ubatan supaya kebergantungan terhadap syarikat pengeluar ubatan luar negara dapat dikurangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pihak perlu mencari kaedah dan juga alternatif lain bagi mengurangkan kos pembelian ubatan-ubatan terbabit.

“Mengapa kita harus terbeban dengan kebergantungan kepada jenis ubat yang disahkan oleh Amerika dan Europe? Kita perlu mencari alternatif lain yang generik dan boleh diterima.

“Contohnya, Brazil, India, Turkiye, China adalah negara terkenal dengan mengeluarkan ubat generik yang jauh lebih murah. Kedua, kerajaan dan swasta yang guna vaksin dan insulin sejak berpuluh tahun dan kita belanjakan ratusan juta.

“Mengapa tidak boleh fikirkan keupayaan mencari syarikat-syarikat tempatan yang ada keupayaan (mengeluarkan ubat) supaya melabur dan tidak bergantung dengan kos ubat-ubatan yang terlalu mahal,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Blok Baharu Hospital Pakar KPJ Penang di Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mencadangkan agar pembelian peralatan kesihatan dibuat secara pukal menerusi rundingan dan kerjasama Kementerian Kesihatan supaya harga yang diperolehi lebih murah.

“Katakanlah kita mahu beli 50 mesin MRI untuk kegunaan di negara ini, pihak kerajaan atau swasta boleh runding untuk mencari harga yang terbaik dan kompetitif.

“Sekiranya pihak hospital swasta rasa tidak perlu dan mahu beli lain, maka itu adalah hak mereka tetapi sekurang-kurangnya kita sudah buka ruang (perbincangan) kerana harga pembelian untuk sepuluh dan satu mesin adalah berbeza, tetapi apa yang kita terima adalah sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI