KUALA LANGAT – Wujud unsur kecuaian yang membawa kematian bayi lelaki berusia empat bulan di Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) haram di Bandar Saujana Putra, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan awal mendapati kecuaian atau pengabaian pengasuh adalah meninggalkan mangsa dalam tempoh lama tanpa pemantauan sewajarnya.
Katanya, setakat ini enam individu telah diambil keterangan termasuk dari suspek iaitu pengasuh.
“Siasatan masih berjalan dan setakat ini terdapat unsur kecuaian pengabaian pengasuh kerana meninggalkan mangsa dalam tempoh masa yang lama tanpa pemantauan.
“Kita juga dalam proses untuk melakukan tangkapan terhadap suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan, pihaknya masih menunggu keputusan makmal bagi mengetahui punca kematian bayi berkenaan.
Tambahnya, kertas siasatan kes telah telah dirujuk kepada Bahagian D5 (Pendakwaan / Undang-Undang) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Terdapat beberapa arahan yang perlu diambil tindakan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya,” tegasnya.
Kosmo! semalam melaporkan taska haram yang terkait dengan kematian bayi itu didapati tidak mematuhi nisbah ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim berkata, siasatan pihaknya mendapati hanya terdapat dua pengasuh yang menjaga 25 anak asuhan.
Malah, hanya seorang daripada dua pengasuh mempunyai sijil tersebut dengan masingmasing berusia 20-an.
Sebelum ini, seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut selepas dihantar ke sebuah taska tidak berlesen di Bandar Saujana Putra di sini pada 3 Januari lalu.
Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.29 petang daripada seorang doktor sebuah klinik di Bandar Saujana Putra.
Berdasarkan laporan, doktor berkenaan telah menerima bayi lelaki itu yang dibawa seorang pengasuh taska dalam keadaan
pucat, kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi serta nafas.
Susulan itu, arahan penutupan dan penyitaan telah dibuat Jabatan Kebajikan Masyarakat terhadap premis itu. – KOSMO! ONLINE