GUA MUSANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil masa enam jam untuk memindahkan dua ekor gajah jantan yang dipercayai mengganggu tanaman pekebun sehingga menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM1 juta di Kampung Pulai di sini hari ini.
Ketua Operasi Translokasi Gajah Liar Kampung Pulai, Mohamad Zainuddin Busrah berkata, operasi membawa keluar gajah itu bermula pada pukul 8 pagi dibantu oleh dua gajah denak iaitu Rambai dan Sanum dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.
Katanya, operasi terbabit melibatkan 24 anggota daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan dan anggota Perhilitan.
“Gajah liar jantan yang diberi nama Tong Pulai dianggarkan berusia antara 20 hingga 25 tahun dengan berat kira-kira dua tan dan saiz tapak kaki dianggarkan 33 sentimeter (cm).
“Seekor lagi gajah jantan diberi nama Tat Pulai pula dianggarkan berusia antara 10 hingga 15 tahun dengan anggaran berat kira-kira 1.2 tan dengan saiz tapak kaki 25 cm. Operasi hari ini berjalan dengan lancar dan dua ekor gajah liar ini akan dipindahkan ke habitat asal mereka,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi pemindahan terbabit di Kampung Pulai di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Tong Chee Hong, penangkapan dua ekor gajah liar jantan itu sedikit sebanyak melegakan penduduk kampung.
Katanya, gangguan dan serangan gajah liar terbabit terhadap tanaman penduduk sejak setahun lalu menyebabkan penduduk terpaksa mengalami kerugian yang besar. – KOSMO! ONLINE