KUALA LUMPUR – Seramai 44 individu mengalami kerugian berjumlah RM1,095,307 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan emas tidak wujud dan tidak sah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, program tersebut didalangi seorang individu yang menyasarkan kaum wanita yang akan bersara sejak tahun 2021.
Katanya, individu tersebut menjanjikan pendapatan tambahan melalui pelaburan emas.
“Mangsa terutama golongan wanita dan mereka yang berusia sanggup mengeluarkan wang simpanan dengan harapan memperoleh untung malang wang itu dipercayai telah lesap,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Hishamuddin berkata, individu terbabit menggunakan media sosial untuk tujuan promosi yang disyaki melanggar peraturan pelaburan.
Jelasnya, individu terbabit telah dituduh di mahkamah susulan laporan yang dibuat oleh tiga mangsa.
“Justeru, kami menyeru Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan membabitkan 41 mangsa lain,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Dila (bukan nama sebenar), 51, mendedahkan dia mengalami kerugian selepas menyertai pelaburan emas tersebut pada tahun 2021.
“Saya tertarik dengan tawaran harga emas murah hanya RM150 pergram sedangkan harga pasaran ketika itu RM178 pergram,” katanya.
Menurut Dila, pada mulanya, pembayaran keuntungan berjalan lancar pada tahun pertama dan kedua, namun mula tidak menerima bayaran sejak Oktober 2023. – KOSMO! ONLINE