KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun membuktikan mereka bukan lagi ‘mangsa’ belasahan selepas berjaya menempah tiket ke pentas separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia menerusi kemenangan bergaya di Axiata Arena, sebentar tadi.
Wei Chong-Kai Wun yang turun sebagai pasangan ranking No. 14 dunia itu mengeluarkan permainan terbaik mereka apabila mudah menewaskan beregu Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-11 dalam tempoh 31 minit.
Bagi gandingan muda tersebut, mereka berharap dapat memberikan yang terbaik dan meningkatkan tahap permainan mereka apabila dijadualkan menentang pasangan No. 18 dari China, Chen Bo Yang-Liu Yi esok.
“Saya berpuas hati dengan apa yang kita buat semasa latihan dan kita telah keluarkan permainan dalam perlawanan tadi. Harap esok kami dapat menampilkan prestasi lebih baik juga.
“Mengenai tahap permainan kami, sudah pasti ada peningkatan dan lebih baik berbanding sebelum ini. Jadi, harap keputusan ini dapat dikekalkan untuk perlawanan seterusnya,” kata Wei Chong lagi
Dalam pada itu, Kai Wun turut mengakui mereka enggan melakukan kesilapan mudah memandangkan lawannya selepas ini adalah gandingan terbaik di Terbuka Malaysia.
“Mereka (Bo Yang-Liu Yi) memang pasangan yang kuat dan sangat laju di atas gelanggang. Kami akan melakukan persiapan dengan lebih baik untuk esok,” kata Kai Wun.
Untuk rekod, sejak penampilan dari 2022 hingga 2024 di Terbuka Malaysia, Wei Chong-Kai Wun tidak pernah melepasi pusingan kedua. -KOSMO! ONLINE