PETALING JAYA – “Rindu mak, perlukan mak di sisi”.
Itulah antara jawapan popular yang dikongsikan orang ramai apabila diminta menulis jawapan bagi soalan ‘bila kali terakhir kau menangis? Kenapa?’.
Soalan itu ditanya secara rawak kepada orang ramai menerusi satu eksperimen sosial yang dilakukan oleh seorang penulis buku popular, Azenan Sabu di Pasar Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi perkongsian Azenan atau nama penanya Paksu Puisi di TikTok, kebanyakan nota yang ditinggalkan oleh orang ramai adalah luahan kerinduan seorang anak kepada ibu tercinta.
Ada yang mengatakan setiap hari menangis apabila teringatkan arwah ibu mereka dan ada juga mengadu rindukan gelak tawa permata hati pertama itu.
Menjengah ke ruangan komen, ramai mengakui tersentuh membaca luahan orang ramai yang rindukan arwah ibu mereka selain turut berkongsi perasaan sama apabila kehilangan insan tersayang.
“Saya juga hilang mak, selang setahun hilang suami. Ketika itu rasa dunia sangat gelap, habis hilang tempat bergantung dan teman meluah. Demi anak-anak, saya pujuk hati untuk kuat. Tiga tahun sudah berlalu, sentiasa mekar dalam ingatan,” kongai Nur Asyikin.
“Rindu arwah mak. Dah 10 tahun menangis sendiri, senyap-senyap,” luah Nur Ulya.
Sementara itu, ada juga dalam kalangan pengguna media sosial berkongsi sebab lain yang membuatkan mereka menangis.
“Terakhir saya menangis minggu lepas waktu solat, sebab dah lama tak solat. Air mata keluar tak berhenti memohon ampun kepada Allah sebab sedar diri terlalu hina,” kata Mkyin Mkhail. – KOSMO! ONLINE
@azenansabu Replying to @nurul.kecik0 Bila kali terakhir kau menangis? Edisi ‘Mak’ Semua orang punya cerita tersendiri. Ada yang nak kita baca lagi? #notesfromstrangers #quotes #katakatamotivasi #notapaksu #mom ♬ Adagio – Secret Garden