KOTA TINGGI – Lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini bagi menempatkan mangsa banjir susulan hujan lebat berterusan sejak pagi tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, seramai 355 mangsa dari 124 keluarga telah dipindahkan setakat pukul 10 malam tadi.
Katanya, ia melibatkan PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas membabitkan seramai 18 mangsa, tiga keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota menempatkan 154 mangsa dari 60 keluarga dari Taman Aman.
“Turut menempatkan mangsa di Sekolah Rendah Agama Bersatu (SRAB) (112 mangsa, 31 keluarga dari Taman Mawai) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana 80 mangsa, 30 keluarga dari Taman Aman dan Taman Mawai.
“Empat PPS lagi iaitu SK Bandar Penawar 1, Dewan Kampung Makam, Dewan Kota Kecil dan SK Teluk Ramunia sedang dikemaskini jumlah mangsa yang terjejas.
“Trend mangsa adalah meningkat berikutan hujan masih berterusan di kawasan terbabit. Proses pendaftaran sedang giat dilakukan,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Paras air sungai di empat lembangan sungai direkodkan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Skudai di Kampung laut, Johor Bahru (4.16 meter), Sungai Tebrau di Taman Sri Pandan, Johor Bahru (2.51 meter), Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil, Kota Tinggi (2.63 meter) dan Sungai Jemaluang di Kampung Paya Dato, Mersing (2.32 meter).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di beberapa kawasan di Pahang dan Johor sehingga Ahad ini.
MetMalaysia menerusi amaran yang dikeluarkan pada 11.35 pagi tadi memaklumkan kawasan yang terlibat di Pahang adalah Rompin manakala di Johor membabitkan Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Bagi hujan berterusan tahap buruk, amaran dikeluarkan di beberapa kawasan lain di Pahang iaitu Bera dan Pekan manakala di Johor melibatkan Tangkak, Segamat dan Muar.- KOSMO! ONLINE