IPOH – Pendakwah selebriti, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid masih tersenarai sebagai seorang daripada pemegang tauliah mengajar agama Islam di Perak sehingga 1 April 2029.
Nama beliau masih tersenarai dalam edaran yang dikongsikan menerusi laman Facebook Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) semalam.
Ustaz Don merupakan antara 104 individu dalam kategori individu berasal dari luar Perak yang memegang tauliah berkenaan bagi tempoh sah bermula 2 April 2024 hingga 1 April 2029.
Selain itu, pendakwah popular Indonesia, Abdul Somad Batubara atau Ustaz Abdul Somad turut menjadi antara penceramah luar negara yang menerima tauliah mengajar agama Islam di Perak.
Selain Ustaz Don, beberapa penceramah terkenal turut menerima tauliah sama termasuklah Ustaz Wadi Annuar, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid, Dr. Zamihan Mat Zin, Datuk Dr. Norhafizah Musa serta Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus
Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila status tauliah Ustaz Don di negeri Selangor ditarik balik berkuat kuasa 24 Julai 2024. – KOSMO! ONLINE