fbpx

Perniagaan berkaitan emas perlu berlandaskan patuh syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelbagai transaksi perniagaan menjual barangan kemas perlu dilaksanakan sebaiknya berlandaskan kepada syariah. – Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Perniagaan berasaskan emas begitu sensitif dalam hukum Islam dan pemain, pengusaha dan peniaga harus lebih peka dan prihatin terhadap semua transaksi dalam ekosistem bisnes tersebut kerana ia boleh menjurus kepada dosa riba.

Pengasas Elzar Shariah Solution dan Advisory, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, berbanding 10 tahun lalu, ramai pemain bersikap tidak fokus terhadap hukum halal dan haram dalam perniagaan emas tetapi trend tersebut lebih baik pada masa sekarang.

Menurut beliau, banyak peniaga melihat halal hanya tertakluk kepada makanan dan minuman tetapi sebenarnya hukum tersebut terlibat dalam semua aspek perkhidmatan berkaitan kewangan.

Tambahnya, untuk membuat permohonan bagi memperoleh sijil pematuhan syariah adalah tidak sukar seperti yang diba­yangkan kerana mereka hanya perlu melalui satu proses yang mudah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Kami memiliki kepakaran dalam bidang perniagaan emas, kami telah menasihati banyak pihak termasuk pengilang, peniaga dan syarikat. Kami telah menasihati mereka tentang perlunya menawarkan perkhidmatan berlandaskan syariah dan kami bersedia untuk membantu mereka.

“Transaksi jualan emas ini bukan semudah meletakkan barangan di rak dengan menawarkan promosi istimewa dengan me­layan keperluan pelanggan untuk membeli emas, tetapi proses tersebut meliputi secara keseluruhannya termasuk di bahagian belakang yang mengambil kira daripada pembekal dan sumber emas.

“Sebagai contoh, ada peniaga menjual emas skrap beratnya satu kilogram kemudian mendapat bayaran daripada jualan tersebut dalam bentuk emas yang telah siap dibentuk menjadi cincin, rantai baharu yang mana beratnya adalah kurang daripada satu kilogram, mungkin hanya seberat 900 gram.

“Sepatutnya transaksi jualan dan pembelian perlu disamakan nilainya dan kini dalam transaksi tersebut wujudnya perubahan berat emas sehingga boleh menjurus kepada unsur riba,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas maj­lis penyerahan sijil pematuhan syariah kepada sebuah syarikat bumiputera, Fourkay Sdn Bhd (Fourkay), peneraju dalam perniagaan pembelian emas gadaian dan emas terpakai di sini baru-baru ini.

Fourkay telah berjaya mencipta nama dalam sejarah industri berkenaan sekali gus bakal me­ngukuhkan kedudukan syarikat tersebut meneroka peluang lebih besar pada masa depan.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Fourkay, Mohamad Sanusi Mohd Isa dan Ketua Pegawai Operasinya, Puteri Ainsyah Quraisha Jamalus. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI