PETALING JAYA – Seorang peniaga makanan dipuji apabila memberikan air tambahan kepada pelanggannya yang memesan minuman berais yang mana tindakan itu jarang-jarang dilakukan oleh orang lain.
Menerusi hantaran Thread ainsrjddn, dia memberitahu telah memesan minuman berais dan dia turut diberikan satu lagi air sewaktu bersarapan di sebuah kedai diusahakan pasangan suami isteri di Andalas, Klang.
“Pak cik memang bagi lebih sebab ada ais,” katanya yang berkongsi perbualan peniaga tersebut selepas dia bertanyakan mengenai perkara tersebut.
Pemilik akaun itu berkata, ini pertama kali dia diberikan air lebih oleh peniaga sekiranya memesan minuman berais.
“Dah 30 tahun hidup baru pertama kali kedai bagi air lebih sebab minum air ada ais.
“Secara logik, bila minum air ada ais, air yang sebenar akan berkurang kan? Jadi pak cik ni bagi air lebih satu cawan juga untuk kita tambah.
“Tak terfikir aku kedai buat mcm ni. Pak cik memang bukan meniaga saja-saja di dunia, bukan nak untung semata-mata. Semoga murah rezeki pak cik dan mak cik sekeluarga,” katanya.
Berikutan itu, ramai yang memuji tindakan peniaga tersebut selain berkongsi harga minuman berais sebenarnya lebih mahal berbanding minuman panas.
“Pertama kali dengar orang meniaga macam ni. Biasanya minuman ais lagi mahal sebab katanya kos ais tu. Bukannya bagi lebih air sebab ada ais,” kata seorang pengguna Thread.
“Kalau ikut logik, macam ni lah sepatutnya. Kalau kita pesan air teh panas, dapat penuh satu gelas. Kalau pesan air ais, air dapat suku saja. Bagus pak cik ni,” kata seorang individu. – KOSMO! ONLINE