LONDON – Kem Liverpool meluahkan kritikan terhadap pengadil perlawanan, Stuart Attwell yang disifatkan gagal melakukan keputusan tepat.
Di sebalik kekalahan 0-1 kepada Tottenham Hotspur pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi semalam, The Reds beranggapan penjaring gol tunggal perlawanan, Lucas Bergvall sepatutnya dilayangkan kad merah.
Selepas terlebih dahulu dilayangkan kad kuning kerana mengasari Luis Diaz, pengurus Liverpool, Arne Slot merasakan Bergvall sepatutnya diberikan kad kuning kedua selepas dikesan melakukan kekasaran terhadap Kostas Tsimikas.
Sebaliknya, Attwell tidak memberikan hukuman kedua kepada Bergvall dan bantahan dibuat oleh kem Liverpool menyaksikan pembantu Slot, Sipke Hulshoff pula dilayangkan kad kuning.
“Apabila pengadil tidak memberikan kad kuning kedua, tiada siapa sangka ia akan beri impak besar. Saya fikir pengadil juga mungkin berfikir tentang perkara sama.
“Namun, ia adalah jaringan yang bagus, Bergvall begitu tenang untuk melakukan sentuhan penyudah,” kata Slot yang kecewa dengan keputusan Attwell.
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk turut berang dengan keputusan Attwell, menyaksikannya meluahkan rasa tidak puas hati kepada pengadil berkenaan sejurus tamat perlawanan.
Tonggak pertahanan tengah dari Belanda itu mendakwa Attwell sudah melakukan kesilapan dan percaya Bergvall sememangnya berhak dikenakan kad kuning kedua.
“Saya fikir ia jelas adalah kad kuning kedua dan semua orang di tepi padang juga merasakan perkara sama. Faktanya dia (Bergvall) patut dilayangkan kad merah.
“Namun, itulah keputusan pengadil dan dia mungkin anggap tidak melakukan kesilapan. Semua ini bukan kerana kami kalah tetapi situasi yang berlaku itu adalah menjadi detik penting kepada perlawanan ini,” kata Van Dijk. – AGENSI