SEREMBAN – Kejutan gol sendiri di awal perlawanan tidak menghalang Negeri Sembilan FC (NSFC) bangkit menewaskan Sri Pahang FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.
Tuah seakan memihak Sri Pahang apabila memperoleh gol pertama pada minit kelapan apabila pemain pertahanan tuan rumah, Aliyu Audu Abu Bakar tertanduk bola masuk ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hantaran lintang Kpah Sherman.
Bagaimanapun, NSFC berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-44 melalui Hein Htet Aung yang menyudahkan percubaan susulan selepas bola melantun terkena palang.
NSFC terus di depan apabila mendapatkan gol kedua pada minit ke-59 menerusi Selvan Anbualagan yang tidak dikawal pertahanan Sri Pahang.
Kemenangan sulung itu disambut gembira oleh NSFC walaupun hanya disaksikan oleh 346 penonton. – KOSMO! ONLINE