KUALA LUMPUR – Laungan reformasi menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid India, di sini tengah hari tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dilihat tiba di Masjid India kira-kira pukul 1.15 tengah hari bagi menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Ketibaan beliau disambut pengurusan masjid dan para jemaah yang mengambil kesempatan bersalaman serta bergambar bersama Perdana Menteri.
Khutbah bertajuk Memuliakan Rejab, Menggarap Mustajab disampaikan dalam Bahasa Melayu di masjid berkenaan, berbanding kebiasaan dalam Bahasa Tamil.
Perdana Menteri selepas selesai solat Jumaat turut mengambil kesempatan meninjau kawasan di sekitar Masjid India.
Terdahulu, Anwar hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikan rakan sejawatannya dari Jepun, Shigeru Ishiba di Seri Perdana, Putrajaya.
Ishiba, isterinya Yoshiko dan delegasi Jepun yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari disambut oleh Anwar di kediaman rasmi Perdana Menteri pada pukul 11.50 pagi. – KOSMO! ONLINE