fbpx

Lagi kes kena tipu skim pelaburan mesin layan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sekumpulan pelabur membuat aduan mendakwa mereka ditipu skim pelaburan mesin layan diri oleh sebuah syarikat sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pada awalnya semua mangsa tersebut menerima bayaran pulangan bulanan walaupun telah dimaklumkan bahawa mesin layan diri mereka belum dibawa masuk ke Malaysia dari negara luar.

“Hal ini menimbulkan persoalan tentang sumber bayaran bulanan yang mereka terima sebelum ini. Para pengadu tertanya-tanya sama ada pulangan bulanan tersebut benar-benar berasal daripada perniagaan mesin layan diri atau hanya daripada modal yang dibayar oleh pelabur lain (rolling),” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, sejak pertengahan tahun 2024, syarikat berkenaan telah menghentikan bayaran keuntungan bulanan kepada pelabur.

“Sehingga hari ini mereka masih belum menerima bayaran pulangan bulanan yang telah dijanjikan. Terdapat juga pengadu yang meminta syarikat untuk memulangkan kembali modal dilaburkan.

“Malangnya, syarikat berkenaan tidak mengendahkan permintaan tersebut. Para pengadu berasa tidak berpuas hati dan mengesyaki wujudnya unsur-unsur penipuan, penyelewengan, dan pecah amanah,” katanya.

Kata Hishamuddin, semua mangsa telah hadir ke pejabat MHO meminta pihaknya untuk mewakili mereka dengan membuat aduan kepada agensi siasatan seperti Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Syarikat yang menawarkan skim mesin layan diri itu disyaki tidak berdaftar dengan Pendaftar Skim Kepentingan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, selaras dengan Akta Skim Kepentingan 2016.

“Mereka ditawarkan pelaburan mesin layan diri dengan harga puluhan ribu ringgit, yang mana syarikat tersebut akan menguruskan perniagaan mesin itu. Syarikat turut menjanjikan pulangan ribuan ringgit setiap bulan.

“Selain itu, terdapat juga skim berbentuk slot bagi mereka yang tidak mampu melabur dengan kadar sebuah mesin. Skim pelaburan slot mesin ini juga menawarkan pulangan bulanan kepada pelabur,” jelasnya.

Tambahnya, MHO sedang meneliti aduan-aduan ini dan komited untuk bersama-sama para pengadu mengambil tindakan undang-undang supaya keadilan dapat ditegakkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI