IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu kesan tekapan bercorak pada baju T dan seluar panjang dipakai pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, pada hari kejadian pelanggaran tidak sepadan dengan bunga tayar kereta Perodua Ativa.
Pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden S. Dasarathan berkara, dapatan itu diperoleh menerusi analisis forensik kriminalistik oleh Jabatan Kimia ke atas kesan tekapan pada keempat-empat bunga tayar kereta tersebut.
Bagaimanapun, kesan-kesan lain yang terdapat pada mangsa konsisten dengan kesan geseran pada permukaan keras dan kasar.
“Kesan geseran dan koyakan pada baju T, seluar panjang, seluar dalam, topi keledar, beg galas dan kasut (Muhammad Zaharif) adalah konsisten bergeser dengan permukaan yang keras dan kasar,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Hakim atuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.
Dasarathan berkata, berdasarkan tekapan tayar yang dianalisis, didapati kesan tekapan bercorak pada pakaian mangsa adalah tidak sepadan dengan tayar kedua-dua kenderaan terlibat.
Menurut pegawai itu, hasil analisis forensik toksikologi terhadap spesimen darah mangsa dan suspek mendapati tiada kewujudan etil alkohol mahupun dadah.
Katanya, hasil analisis forensik kriminalistik terhadap kereta Perodua Ativa dan motosikal Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif mendapati kepingan cat asing daripada motosikal adalah serupa dengan spesimen cat putih daripada kereta.
Tambahnya, palitan bahan asing hitam daripada kereta juga serupa dengan spesimen plastik hitam daripada motosikal selain kepingan bahan asing hitam daripada kereta serupa dengan spesimen getah tayar belakang daripada motosikal.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui.
Pihak peguam bela pula dibarisi M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman, manakala peguam pemerhati daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), Syaheera Rosli. – KOSMO! ONLINE