LAMBAT panas, barangkali itu frasa sesuai untuk menggambarkan tahap ‘pecutan’ pelakon Ikmal Amry yang namanya baru meledak beberapa tahun kebelakangan ini.
Memulakan kerjaya seni seawal umur 20 tahun, Ikmal, 31, mengakui hanya mendapat tawaran memegang watak utama selepas sembilan tahun bergelar pelakon.
Tidak rasa tersinggung apatah lagi berkecil hati dengan dunia seni, dia percaya setiap rezeki Tuhan sudah diaturkan dengan baik.
Ikuti temu bual bersama pemilik nama penuh Mohd. Zulikmal Amry Ghazali yang berkongsi tentang ledakan kerjaya seni dan filem terbaharunya, Game Of Life.
HIBGLAM: Hampir sedekad bergelar pelakon, pernahkah anda berasa putus asa kerana sukar untuk diberi kepercayaan memegang watak utama dalam mana-mana naskhah?
IKMAL AMRY: Tak pernah kecil hati sebab saya bukan pelakon yang mengejar atau mempunyai sasaran tertentu dalam kerjaya seni.
Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri mengenai watak utama atau sebagainya. Kalau dapat pegang watak utama, memang saya syukur tetapi jika karakter sampingan pun okey sahaja.
Pernah rasa tersinggung apabila ada segelintir pihak mendakwa anda lambat untuk mengecap populariti seperti rakan seperjuangan lain?
Dalam setiap watak saya akan bagi terbaik dan tak pernah terasa pun. Dalam industri ini, kerjaya seni macam putaran roda, akan hadir lebih ramai pelakon baharu.
Tak kecewa pun sebab yakin semua rezeki itu akan hadir pada waktu yang tepat.
Tiada istilah nak mengalah atau merajuk, bahkan saya dapat watak hero dalam From Saga With Love pada usia 29 tahun, ‘chill’! Jadi, mungkin juga Allah takdirkan saya berkahwin awal supaya tidak mudah lupa diri dengan populariti. Susunan Tuhan untuk hidup saya sangat baik.
Jadi, anda pernah rasa takut lupa diri jika meraih populariti pada usia yang muda sebelum ini?
Saya pernah rasa popular pada usia 26 tahun dan ketika itu masih bujang. Akaun media sosial dibanjiri dengan ribuan mesej daripada netizen dan agak ‘culture shock’ ketika itu.
Tetapi disebabkan lahir daripada keluarga yang susah, saya sentiasa beringat. Saya akui pernah tersasar sebentar tetapi syukur dapat kembali ke landasan yang tepat itu semula. Saya akan balik kampung setiap bulan, itu cara saya ‘reset’ hidup, cari semula motif nak hidup. Sebab itu saya ambil keputusan kahwin awal sebab risau tersasar jauh.
Boleh kongsi tentang watak dalam Game Of Life yang bakal ditayangkan pada 23 Januari depan?
Saya memegang watak antagonis iaitu Irfan. Memang seronok dapat berlakon dengan barisan pelakon hebat di bawah arahan Syafiq Yusof.
Lagi buat saya teruja ialah filem ini mengangkat tema permainan e-sukan, saya pula memang gamer tegar sebelum ini, jadi memang tiada masalah.
Boleh kongsikan pengalaman atau keseronokan dunia permainan e-sukan?
Boleh buat duit tetapi saya pula buang duit. Saya beli macam-macam dalam game dan paling banyak pernah berhabis RM10,000 dalam tempoh sebulan untuk FIFA. Ketika itu masih bujang.
Memang hardcore tetapi nampaklah hasil pelaburan itu sebab saya beli pemain yang mahal dan skil mereka yang kita mahukan. Memang puas cuma sekarang sudah berhenti terus dan kalau nak tahu, saya pernah main game selama 24 jam. Itu semua toksik dan janganlah ikut, permainan e-sukan sebenarnya ada banyak sisi positif, sebab itu kena tonton Game Of Life nanti.