GEORGE TOWN – Keluarga dua pelancong dari China yang maut dihempap pokok tumbang di sebuah muzium di Lebuh Gereja di sini, September tahun lalu memfailkan notis tuntutan saman berjumlah RM1.7 juta terhadap lima pihak, hari ini.
Dalam notis tuntutan saman itu, Pinang Peranakan Mansion Sdn. Bhd. selaku operator muzium, dinamakan sebagai pihak pertama, SSM Capital yang merupakan pemilik tanah muzium dinamakan sebagai pihak kedua dan pemilik tanah yang terdapat pokok terlibat, Sri Kumaran’s Textile Sdn. Bhd. sebagai pihak ketiga.
Selain itu, dalam notis itu pihak keempat adalah agensi pelancongan, Pony Holiday Sdn. Bhd. manakala pihak kelima adalah pemandu pelancong, Har Kwai Leng.
Peguam bagi keluarga pelancong dari China itu, Ng Kian Nam berkata, lima pihak yang disaman itu ialah pengendali muzium, pemilik muzium, pemilik pokok, agensi pelancongan tempatan serta pemandu pelancong.
“Mereka (keluarga pelancong) juga memberi kuasa kepada kami untuk mengeluarkan surat penjelasan kepada iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi mendapatkan penjelasan mengapa mereka hanya mengeluarkan notis kacau ganggu di bawah undang-undang tempatan kepada pemilik pokok selepas insiden berlaku dan bukan sebelum itu.
“Selain itu, pihak keluarga juga mahukan penjelasan sama ada pengendali atau pengurus muzium tersebut pernah mengemukakan sebarang aduan rasmi kepada mereka tentang risiko tinggi pokok tersebut kepada pelancong atau awam.
“Oleh itu, mereka ingin menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM1.7 juta terhadap pihak-pihak tersebut yang merangkumi kerugian am dan khas,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Dalam kejadian 18 September tahun lalu, dua pelancong China maut akibat tersepit di dalam sebuah kenderaan yang dihempap sebatang pokok yang tumbang bersama runtuhan konkrit dalam kejadian di Lebuh Gereja, di sini.
Katanya, kedua-dua mangsa adalah seorang bapa dan anak perempuan masing-masing berusia 69 dan 36 tahun.
“Mangsa meninggalkan ahli keluarga iaitu ibu, suami serta anak kecil yang hanya berusia 11 tahun, yang kini mengalami trauma serius, kesedihan emosi yang mendalam, dan juga kesulitan dari segi mata pencarian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE