KUALA LUMPUR – Gandingan Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto semakin mempamerkan kehebatan selepas berjaya menewaskan ranking kedua dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee di suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 hari ini.
Pasangan baharu Jepun itu menunjukkan prestasi cemerlang apabila mara ke separuh akhir selepas menumpaskan Ha Naa-So Lee 21-14, 21-18 dalam tempoh 61 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Kemenangan itu penting buat mereka terutama untuk meningkatkan kembali keyakinan sejak mula bergandingan pada November tahun lalu.
“Kami sangat teruja dan gembira dapat bermain menentang pasangan baharu yang lain. Kami menantikan lebih banyak perlawanan seperti ini.
“Matlamat utama kami untuk memperbaiki komunikasi di gelanggang. Kami ingin membina momentum untuk perlawanan seterusnya. Kami perlu fokus dan elakkan kecederaan,” kata Matsumoto.
Sejak bergandingan, Fukushima dan Matsumoto berjaya meraih naib juara Kumamoto Masters dan mara ke separuh akhir China Masters pada tahun lalu.
Namun, mereka dijangka berdepan cabaran lebih besar apabila bakal bertemu pilihan utama dari China, Li Yi Jing-Luo Xu Min di separuh akhir hari ini.
Mereka perlu membuat persiapan rapi bagi meneruskan momentum kemenangan dalam kejohanan yang semakin mencabar untuk menempah tiket ke pentas final esok. – KOSMO! ONLINE