PETALING JAYA – Pihak yang cuba membangkitkan isu remeh berkaitan pembanterasan penyelewengan sepatutnya memberi tumpuan kepada masalah rakyat yang kebanyakannya masih berada dalam kelompok kemiskinan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat pelbagai masalah dan isu masih membelenggu rakyat pada masa ini, bahkan ia belum lagi selesai.
“Tumpu isu-isu ini, rakyat yang merempat masih banyak. Mutu pendidikan semuanya masih belum selesai, anak-anak di desa dan pedalaman belum mendapat pembelaan.
“Jangan sibuk dengan isu remeh pertahankan penyelewengan. Banyak suara atas nama Melayu dan Islam pertahankan rasuah. Ada yang marah saya, katanya dendam kesumat.
“Dendam apa? Kamu curi berbilion, bagi balik kepada rakyat,” katanya berucap pada pada Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.
Beliau berkata, sehubungan itu MBM perlu mengorak langkah dalam menyelamatkan negara menerusi pelbagai usaha membanteras penyelewengan dan ketirisan di negara ini.
Menurutnya, sepanjang dua tahun pemerintahan Kerajaan Madani, belum ada kes skandal melibatkan menteri atau pimpinan di bawahnya yang terpalit isu mencuri kontrak.
“Dua tahun saya jadi Perdana Menteri, tidak ada skandal menteri atau pimpinan yang mencuri kontrak. Semua keputusan melalui proses yang ketat.
“Jadi saudara, saya mohon saudara faham dan sampaikan mesej ini bahawa negara ini perlu diselamatkan,” katanya.
Menyentuh pemberian gaji progresif, Anwar berkata, ia salah satu usaha bagi membantu rakyat secara keseluruhan.
“Saya yakin tidak ada negara dalam dunia dari zaman purbakala, pentadbiran raja-raja dan maharaja yang merudum dan runtuh kerana membantu rakyat miskin.
“Yang ada (keruntuhan) sebab gelojoh dan hasad dengki, menindas dan merompak serta tamak haloba. Ini yang menyebabkan negara jatuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE