KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman merekodkan kerugian akibat jenayah komersial lebih RM3.1 bilion sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 41,701 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tempoh terbabit.
Menurutnya, jenayah komersial paling banyak direkodkan bermula awal Januari sehingga hujung Disember adalah melibatkan penipuan sebanyak 37,240 kes dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM2.45 bilion.
Selain itu katanya, kes melibatkan pecah amanah jenayah pula sebanyak 1,448 kes melibatkan kerugian berjumlah RM546.39 juta.
“Kes melibatkan salah guna harta dengan curang pula adalah sebanyak 66 kes dengan kerugian RM66.29 juta, jenayah siber 720 kes (RM32.7 juta), pemalsuan 128 kes (RM10.1 juta) dan wang palsu 950 kes (RM1.16 juta).
“Turut direkodkan, jenayah melibatkan Akta Pemberi Pinjaman Wang (along) sebanyak 1,060 kes melibatkan kerugian (RM5.2juta), kes cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) dua kes dan lain-lain kes sebanyak 91 dengan jumlah kerugian (RM3.11 juta),” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ramli berkata, jumlah keseluruhan kerugian akibat penipuan tersebut adalah sebanyak RM3,114,251,458.64.
Katanya, kes-kes penipuan dalam talian yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE