ALOR SETAR – Mayat seorang warga emas ditemui terbaring di atas katil seorang diri dalam keadaan kian mereput di rumahnya, dan disyaki meninggal dunia sejak beberapa hari lalu di Taman Serindit, Jalan Langgar, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Siti Nor Salawati Saad berkata, jasad lelaki berusia 68 tahun itu ditemui setelah jirannya terhidu bau busuk dari kediaman lelaki tersebut dan curiga setelah beberapa hari tidak melihat mangsa.
“Warga emas tersebut merupakan seorang bujang dan tinggal berseorangan di rumah itu. Dia difahamkan gemar menyendiri dan kurang bergaul dengan jiran setempat.
“Sejak beberapa hari lalu, mangsa tidak kelihatan keluar dari rumahnya untuk membeli sarapan seperti biasa. Sehubungan itu, jiran berkenaan menghubungi pihak berkuasa kira-kira pukul 4 petang semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, mangsa difahamkan sering menerima rawatan di hospital berdekatan bagi penyakit darah tinggi dan kencing manis.
“Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian. Pihak polis masih menanti laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE