MELAKA – Padah mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi, empat lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,500 dan RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Khairunnisak Hassni membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Muhammad Aziq Imran Mohd. Zamri, Mohd. Fairuz Ismail Mahmad Fuad, R. Sasikumar dan Ahmad Safuan Mokhtar masing-masing berusia 21 hingga 35 tahun sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan mereka didakwa bersama-sama dengan niat curang mencuri kabel talian bawah milik syarikat TM Teknologi Sdn. Bhd. bernilai kira-kira RM3,000 di Jalan PTB 2, Kawasan Perindustrian Tangga Batu dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.40 malam pada pada 16 Disember 2024.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Mohd. Fairuz Ismail, Ahmad Safuan dan Sasikumar manakala Muhammad Aziq Imran didenda RM2,500 atau penjara dua bulan jika gagal bayar.
Sementara itu, dalam prosiding sama, Mohd. Fairuz Ismail, Ahmad Safuan dan Wan Khairul Aslam Wan Mat, 34, turut didakwa kerana sengaja menghalang tugas penjawat awam dengan cara melanggar kereta polis jenis Honda City untuk melarikan diri daripada pemeriksaan.
Bagaimanapun, hanya Wan Khairul Aslam mengaku bersalah dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.
Mahkamah turut membenarkan Mohd. Fairuz Ismail dan Ahmad Safuan dijamin RM2,500 seorang serta menetapkan tarikh 26 Februari depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE