PETALING JAYA – Emkay Group hari ini mengesahkan kerjasama bersama Global Net Travel Sdn. Bhd. menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan vila terapung yang pertama seumpamanya di Belum, Perak melibatkan pelaburan berjumlah RM20 juta.
Projek berkenaan bakal dimulakan selepas memperoleh semua kelulusan yang diperlukan, termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) dan disasarkan siap untuk memulakan operasi menjelang 2027.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Emkay, Datuk Fazwinna Mustapha Kamal berkata, perancangan projek berkenaan, yang masih pada peringkat awal dijangka melibatkan pembangunan sehingga 27 buah villa terapung di Tasik Temengor, dalam kawasan Hutan Simpan Royal Belum-Temengor yang merupakan salah satu hutan hujan tertua di dunia.
“Pembangunan projek ini yang masih belum dinamakan mengambil masa agak lama untuk memelihara keseimbangan flora dan fauna serta menjaga kualiti air di kawasan tersebut.
“Hanya untuk memotong sebatang pokok di Belum, kami memerlukan kebenaran daripada pakar dan saintis. Selain itu, memandangkan lokasinya di kawasan hutan tebal, terdapat banyak gajah dan harimau yang berenang di tasik tersebut jadi keselamatan pengunjung juga merupakan aspek yang perlu kami titik beratkan.
“Terdapat juga elemen seperti pasang surut air tasik yang boleh melibatkan paras sehingga 10 meter, semua aspek ini perlu diambil kira bagi memberikan tetamu pengalaman baharu yang tiada tolok bandingnya” katanya pada majlis pemeteraian MoU di Menara Mustapha Kamal, di sini.
Tambah beliau, menerusi MoU tersebut, pihaknya akan melaksanakan kerja-kerja pembangunan infrastruktur dan operasi vila, manakala Global Net Travel memainkan peranan dari segi reka bentuk vila serta aspek pemasaran.
Kos pembangunannya pula akan dikongsi bersama kedua-dua syarikat.
Sementara itu, Pengarah Urusan Global Net Travel, Ken Chong berkata, projek vila terapung berkenaan, yang turut memiliki elemen restoran dan ruang untuk mesyuarat dan acara seperti perkahwinan akan mengambil inspirasi daripada Z9 Resort di Kanchanaburi, Thailand yang direka oleh Dersyn Studio.
“Kepakaran Dersyn Studio dan rekod prestasi mereka yang terbukti memastikan projek ini akan menonjol sebagai destinasi bertaraf dunia.
“Vila terapung di Belum ini bukan sekadar projek pembangunan, ia komitmen untuk mempamerkan kekayaan alam Malaysia sambil merangsang pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam kalangan penduduk setempat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE