KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menambah baik keadaan premis perniagaan di Jalan Masjid India di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tinjauan beliau di lokasi tumpuan orang ramai tersebut mendapati terdapat kedai yang rosak, malah ada yang berada dalam keadaan teruk.
Kata Perdana Menteri, deretan kedai dan gerai termasuk yang telah bertapak lama di kawasan berkenaan antara tarikan pelancong yang perlu diambil perhatian.
“Saya minta DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan lihat dan segerakan. Ini kawasan tumpuan ramai. Ini boleh dilakukan menggunakan kaedah ‘fast track’.
“Bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan membantu peniaga dan penjaja kecil memajukan perniagaan mereka,” katanya selepas melakukan tinjauan di sekitar Jalan Masjid India hari ini.
Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri di Masjid India kira-kira pukul 1.15 tengah hari ini bagi menunaikan solat Jumaat disambut dengan laungan reformasi oleh sebilangan orang ramai.
Anwar disambut pengurusan masjid dan para jemaah yang turut mengambil kesempatan untuk bersalaman dan bergambar bersama Perdana Menteri.
Khutbah bertajuk Memuliakan Rejab, Menggarap Mustajab disampaikan dalam Bahasa Melayu di masjid berkenaan, berbanding kebiasaan dalam Bahasa Tamil.
Isi khutbah antara lain menyeru umat Islam wajib memuliakan bulan Rejab kerana ia termasuk salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan oleh Allah S.W.T – KOSMO! ONLINE