BERTARAF ‘diva’ dalam arena seni suara, penyanyi Ning Baizura tetap menyifatkan pentas Gegar Vaganza sebagai ibarat universiti buat setiap artis yang bertanding.
Menurut Ning atau nama penuhnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 50, GV merupakan platform terbaik untuk menimba ilmu meskipun sudah bergelar penyanyi senior.
“Benarlah apa yang dikatakan Jaclyn Victor sebelum ini bahawa GV merupakan universiti untuk penyanyi seperti kami.
“Banyak kami belajar setiap minggu dan barisan juri juga beri komen membina dan input yang sangat berguna untuk persembahan para peserta,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Tidak pernah berfikiran negatif apabila diberikan markah rendah atau berada di kedudukan terbawah, Ning optimis dan menerima setiap komen juri dengan berlapang dada.
Malah, dia juga melihat semua komen yang diberikan juri sebagai ilmu yang sukar untuk dipelajari di tempat lain.
“Kita tak boleh berfikiran negatif sahaja. Apa yang saya buat setiap minggu adalah mendengar semula komen juri selepas persembahan. Setiap minggu akan dapat komen berbeza berdasarkan persembahan minggu tersebut.
“Ini cara saya menilai semula persembahan dan melihat kelemahan sendiri. Semua itu cara untuk belajar memperbaiki kesilapan,” ujarnya.
Pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu sempat memuji kredibiliti ketua juri GV, Datuk Ramli MS yang banyak membantu dalam setiap persembahan.
“Orang yang paling banyak sokongan kepada semua peserta ialah Ramli MS. Dia sangat positif dan akan komen kelemahan kita, itu bagus.
“Bukan nak cakap Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang tidak bagus atau kurang membantu sepanjang proses latihan tetapi mereka berdua banyak memberi komen membina kepada para peserta pada hari kejadian iaitu konsert mingguan.
“Selalunya komen dan kritikan mereka penuh dengan elemen kejutan,” jelasnya.
Berkongsi persembahannya pada minggu lalu yang menyampaikan lagu Cinta Setandan Pisang, Ning memberitahu dia dibantu 10 individu untuk memahami dan bertutur dialek Kelantan.
“Alhamdulillah, saya sudah sehabis baik belajar dialek Kelantan. 10 orang ajar saya selama lima hari.
“Saya puas hati dan memang ‘all out’ sebab lagu ini viral.
“Jadi kena pastikan dendangkan lagu ini dengan serius terutama sebutan dialek Kelantan, ada ‘idgham’ sendiri. Itu paling rempit saya boleh beri ketika melunaskan persembahan,” tutup Ning.