KOTA BHARU – Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki yang mandi di tali air bersama abangnya di depan rumah mereka berakhir tragedi apabila dia ditemui lemas di kawasan tersebut di Kampung Tok Mekong, Sering kelmarin.
Mangsa, Muhamad Alif Amza Mohd. Azmi, 5, dijumpai selepas tersangkut pada jala yang ditebar oleh seorang penduduk sebaik menyedari jasad kanak-kanak itu berada di dasar tali air kira-kira pukul 2.30 petang selepas setengah jam hilang.
Ibu mangsa, Rosmazini Malik, 43, sebelum kejadian, dia meninggalkan Muhamad Alif Amza yang merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik bersama abangnya, Muhamad Alif Harazz, 9, kerana keluar ke sekolah untuk mengambil keputusan pencapaian peperiksaan anak-anak.
Menurutnya, Muhamad Alif Amza pada awalnya mahu mengikutnya, namun dia secara tiba-tiba berubah fikiran dan keluar daripada kereta dengan memberi alasan mahu tinggal bersama abangnya.
“Selepas beberapa jam keluar, saya terima panggilan daripada adik saya dan memaklumkan bahawa Muhamad Alif Amza hilang. Saya terus bergegas pulang sebelum dimaklumkan dia lemas.
“Seminggu sebelum kejadian, Muhamad Alif Amza menyatakan hasratnya untuk bersekolah di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemajuan Masyarakat (Kemas). Dia juga pernah meminta saya membeli beg sekolah untuknya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Pok Mekong, Sering, semalam.
Menurutnya, dia sangat terkilan kerana tidak sempat menunai hajat Muhamad Alif Amza itu kerana Allah SWT lebih menyayanginya. – KOSMO! ONLINE