KUALA LANGAT – Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Bandar Saujana Putra di sini yang terkait dengan kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan, disita hari ini.
Proses penyitaan bermula pukul 2.20 petang itu dibuat sepasukan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor yang diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasaannya, Nor Azian Sharfador Khan selain dihadiri pemilik taska berkenaan.
Difahamkan, premis tersebut telah beroperasi tanpa lesen sejak 2022.
Nor Azian berkata, penyitaan tersebut dibuat peruntukkan dibawah subseksyen 20A (1) Akta Taska 1984 [Akta 308] yang berkuat kuasa hari ini.
“Justeru, premis ini hendaklah dikosongkan dan sebarang aktiviti dihentikan serta merta pada hari ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Nor Azian, sitaan atau Lak berkenaan akan ditanggalkan sekiranya pemilik taska mengemukakan perakuan pendaftaran taska kepada Ketua Pengarah atau pegawai JKM dalam tempoh 21 hari tarikh tindakan ini.
Sekiranya lebih 21 hari, pihak berkepentingan premis boleh mohon melalui mahkamah untuk menanggalkan Lak itu.
Dalam pada itu, usaha Kosmo! mendapatkan sebarang komen daripada pemilik taska yang merupakan wanita berusia 30an gagal selepas dia enggan memberikan sebarang ulasan.
Sementara itu, seorang penduduk dikenali Bob, 39, langsung tidak menyangka kejadian tersebut berlaku di kawasan taman perumahannya.
Katanya, dia langsung tidak menyangka taska tersebut tidak mempunyai lesen memandangkan beroperasi seperti biasa termasuk mengadakan program seperti Hari Kebangsaan dan sukaneka.
“Memang terkejut namun saya harap selepas ini agar semua taska termasuk berlesen agar meningkatkan penjagaan mereka terhadap anak-anak asuhan mereka.
“Ini disebabkan banyak kes libatkan taska ini dan kita tidak mahu mereka hanya lebih utamakan keuntungan dengan menjadikan taska sebagai bentuk perniagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE