fbpx

Video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 akan dibuat semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video perasmian logo Visit Malaysia 2026 baru- baru ini.

KUALA LUMPUR – Video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi menampilkan keunikan di setiap negeri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui tidak berpuas hati dengan hasil akhir video baru-baru ini dan telah meminta agensi berkaitan untuk menghasilkan promosi mengikut zon.

“Saya sudah lihat video promosi berkenaan sebab ia terlompat-lompat, sekejap Pahang, sekejap Perak, sekejap Selangor, sekejap Sabah, sekejap balik lagi Pahang.

“Kalau Pahang terus promosi Pahang. Jangan lompat sini, lompat sana. Kalau kita buat sebegitu, nanti pelancong di luar negara keliru. Jadi, kita mahu promosi itu serius,” katanya pada Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Wilayah Tengah 2025, di sini, hari ini.

Menurut King Sing, video montaj berdurasi 41 saat itu adalah bukan video rasmi yang akan digunakan untuk tujuan promosi kelak.

“Kelmarin, kita cuma rasmi logo sahaja, bukan video promosi TMM dan ia tidak boleh dijadikan untuk tujuan itu,” katanya.

Sebelum ini, video TMM 2026 menerima kritikan termasuk pemimpin pembangkang yang menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menarik semula video terbabit kerana didakwa cuai susulan tiada elemen masjid sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.

Mengulas lanjut, King Sing mengingatkan semua pihak tidak membangkitkan isu perkauman, keagamaan dan mempolitikkan video terbabit.

Terdahulu, King Sing dalam kenyataan memberi jaminan elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi TMM 2026 yang akan diumumkan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI