MERSING – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki sebelum mayatnya disumbat dalam but kereta jenis Proton Waja pada Disember lepas.
Tertuduh, Hasbullah Adam, 36, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Lelaki itu didakwa membunuh mangsa, Shakirin Mohamad, 28, pada pukul 6.10 pagi, 26 Disember hingga 1.50 tengah hari, 28 Disember di tepi jalan Kilometer 48, Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing.
Oleh itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun selain tidak lebih 12 kali sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Foo Fang Leong, manakala tertuduh diwakili peguam Azlan Bohari.
Fang Leong memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sementara menunggu laporan kimia, bedah siasat dan forensik selain meminta agar tiada jaminan dibenarkan kerana tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Nurkhalida Farhana menetapkan tarikh 27 Februari ini untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE