fbpx

Trump ancam rampas Greenland, Terusan Panama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DELEGASI anak Trump tiba di Nuuk, Greenland kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan kekuatan tentera bagi merebut kawalan ke atas Terusan Panama di Panama dan Greenland milik Denmark, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Menurut Trump, kawalan Washington ke atas terusan dan pulau terbesar dunia di rantau Artik itu adalah penting untuk keselamatan AS.

Bercakap kepada pemberita kurang dua minggu sebelum beliau memegang jawatan Presiden AS pada 20 Januari ini, Trump bersikap terbuka tentang penggunaan tentera Amerika untuk menguasai terusan dan pulau tersebut. 

“Saya tidak akan komited,” kata Trump ketika ditanya sama ada beliau akan menolak penggunaan tentera untuk mendapatkan Terusan Panama dan Greenland. 

“Mungkin kita perlu melakukan sesuatu. Terusan Panama adalah penting kepada negara ini. Kita juga memerlukan Greenland untuk tujuan keselamatan negara,” tambah Trump pada sidang akhbar di Resort Mar-a-Lago miliknya di Florida.

Greenland yang menempatkan pangkalan tentera AS yang besar, adalah wilayah autonomi Denmark. 

Terusan Panama pula telah dikawal sepenuhnya oleh Panama selama lebih 25 tahun lalu. 

Washington mengembalikan terusan itu kepada Panama pada 1979 dan menamatkan perkongsian bersamanya dalam mengawal laluan air strategik tersebut pada 1999.

Sebelum itu, Trump menyiarkan video pesawat peribadinya mendarat di ibu kota Greenland, Nuuk.

“Don Jr. (anak Trump) dan perwakilan saya mendarat di Greenland. Penerimaan mereka adalah hebat. Mereka (Greenland) memerlukan keselamatan, kekuatan dan keamanan. Ini adalah perjanjian yang mesti berlaku. Jadikan Greenland hebat semula!” tulis Trump di media sosial.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Greenland berkata, lawatan anak Trump itu adalah sebagai individu persendirian dan bukan lawatan rasmi, justeru tiada wakil akan bertemu dengannya.

Menjawab komen Trump dalam temu bual dengan stesen televisyen Denmark, TV2, Perdana Menteri Mette Frederiksen berkata, beliau tidak percaya bahawa AS akan menggunakan kuasa ketenteraan atau ekonomi untuk mendapatkan kawalan ke atas Greenland.

“Kami mengalu-alukan peningkatan minat AS di rantau Artik tetapi ia perlu dilakukan dengan cara yang menghormati penduduk Greenland,” katanya.

Sebelum ini, Trump yang mewakili Parti Republikan juga pernah meminta supaya Kanada menyertai AS sebagai negeri ke-51. 

Beliau kelmarin turut menyatakan hasrat untuk menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika dengan menganggap langkah itu bersesuaian.

“Kami akan menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika. 

“Teluk Amerika, nama yang indah dan sesuai. Mexico perlu berhenti membenarkan berjuta-juta orang masuk ke negara kami,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI