PETALING JAYA – Sejak semalam tular perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial terutama peminat novel popular, Thariq Ridzuwan Commando’s: His treasure mengenai senarai pelakon yang bakal memegang watak utama karya penulisan Hudanajwa itu.
Tinjauan Kosmo! di TikTok dan laman X mendapati, ramai menyifatkan watak utama novel tersebut iaitu Thariq Ridzuwan yang merupakan seorang tentera di bawah unit khas berpangkat leftenan itu terlalu berharga untuk diapdatasi kepada drama.
Selain itu, mereka turut meluahkan kebimbangan sekiranya mana-mana pelakon yang membawa watak sebagai Thariq Ridzuwan gagal menghidupkan perwatakan sebenar lelaki tersebut seperti mana diceritakan di dalam novel.
“Yang dalam novel, biarlah kekal dalam novel. Jangan diadaptasikan ke drama. Rosak imaginasi para pembaca terutama bila watak itu ada mata hazel, kelabu dan lain-lain.
“Tolong bezakan dunia nyata dan fantasi, ianya tak akan pernah terjadi di dunia nyata. Tiada siapa boleh menjadi Thariq Ridzuwan bin Tizz Razif, ‘stop it’. Anda hanya akan rosakkan semuanya,” kata seorang pengguna TikTok @F.
“Seriuslah novel ini akan dijadikan drama? Siapa pelakon yang akan bawa watak-watak dalam ini? Siapa Thariq Ridzuwan? Siapa pula Husniya Radwa? Tolong jangan hancurkan ekspektasi kami terhadap watak penting dalam novel ini,” soal Haizaa.
“Tiada siapa mampu bawa watak Thariq, tak sanggup nak tengok siapa yang akan lakonkan dalam drama itu nanti,” kata @JckZrul.
Sementara itu, ada juga berteka-teki nama pelakon yang bakal berada dalam senarai utama watak novel Thariq Ridzuwan Commando’s: His treasure ini antaranya, Idris Khan, Fattah Amin, Erysha Emyra, Remy Ishak, Hun Haqeem, Redza Rosli dan Anna Jobling. – KOSMO! ONLINE