KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan rentak cemerlang pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 selepas meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, gandingan No.14 dunia itu membenam cabaran pilihan kelapan dari Taiwan, Lee Jhe Hui-Yang Po Hsuan 21-15, 21-13.
Biarpun berdepan pemain pilihan, namun Wei Chong-Kai Wun yang menerima sokongan padu penyokong sendiri mempamerkan aksi cukup membanggakan sehingga berjaya meletakkan beregu lawan dalam keadaan tertekan.
“Sebenarnya memang tidak mudah juga perlawanan hari ini tetapi kami sudah melakukan persiapan dengan baik. Selain itu, faktor nasib juga agak membantu, mungkin ada bantuan angin.
“Saya tidak mahu fikir banyak sangat kerana ini adalah tahun baharu, jadi kami hanya mahu berikan yang terbaik. Tahun lepas kami berdepan prestasi tidak menentu, ada naik turun,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Menjelang aksi suku akhir esok, Wei Chong-Kai Wun akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dan Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis.
Turut mara ke suku akhir adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang akan membuat perhitungan menentang pasangan China, Cheng Xing-Zang Chi. – KOSMO! ONLINE