KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terus menggamatkan Axiata Arena, Bukit Jalil ketika meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung sebentar tadi, gandingan No.24 dunia itu menampilkan aksi cukup bertenaga apabila mencatat kemenangan tiga set 23-21, 16-21, 21-18 ke atas wakil Korea Selatan, Jin Yong-Kang Min Hyuk.
Yew Sin berkata, walaupun pasangan lawan merupakan gandingan baharu, namun mereka berdepan aksi cukup sukar memandangkan beregu Korea itu memiliki pertahanan cukup baik bagi mengekang serangan yang dilakukan.
“Saya rasa memang sengit lah di set kedua kerana mereka langsung tak beri peluang walaupun pada awalnya kita mendahului 6-1. Mereka berjaya mengejar dan kita juga ada melakukan kesilapan mudah.
“Memang mereka merupakan beregu baharu tetapi pertahanan mereka cukup kebal, jadi sukar untuk kami matikan permainan mereka. Kami terpaksa bermain dalam keadaan lebih sabar,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sebagai rekod, ini merupakan kali keempat berturut-turut Ee Yi-Yew Sin mara ke pusingan suku akhir Terbuka Malaysia selepas melakukan pencapaian sama pada edisi 2022, 2023 dan 2024.
Tambah Yew Sin, dia mengharapkan untuk bertemu rakan senegara di suku akhir esok apabila Nur Mohd. Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong akan membuat perhitungan dengan jaguh India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy sebentar lagi.
“Memang nak masuk separuh akhir dan jadi juara tetapi macam saya cakap, perlu fokus perlawanan demi perlawanan. Kalau boleh, nak jumpa sesama Malaysia bagi memastikan ada satu wakil ke separuh akhir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE