KUALA LUMPUR – Bekas juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal meneruskan rentak kemenangan kem negara pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 hari ini selepas ditunjukkan jalan keluar.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, gandingan No.6 dunia itu dikejutkan oleh pasangan kembar dari Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen apabila tewas 14-21, 18-21.
Kekalahan itu agak mengejutkan seluruh penonton yang hadir memandangkan Aaron-Wooi Yik turun dengan status sebagai pilihan kelima kejohanan selain beraksi di laman sendiri.
“Sebenarnya hari ini (prestasi) masih kurang dan gagal untuk beri tekanan kepada mereka. Sebahagian besar set pertama itu kami memberikan mereka banyak mata mudah menerusi beberapa kesilapan.
“Buat masa sekarang kami perlu lebih fokus (ke Terbuka India) selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Terdahulu, kem Malaysia menampilkan aksi cukup baik apabila beberapa wakil seperti dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai serta dua beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mara ke suku akhir.
Sementara itu, Wooi Yik pula menganggap kekalahan tersebut sebagai pengajaran berguna dan ia perlu diperbaiki sebelum mereka menggalas cabaran pada Terbuka India di New Delhi nanti.
Turut tersingkir di suku akhir hari ini adalah beregu wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien selepas tewas mudah 6-21, 5-21 kepada pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning. – KOSMO! ONLINE