KOTA BHARU – Sepasang suami isteri etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak lelaki mereka berusia 10 bulan sehingga menyebabkan kematian bulan lalu.
Tertuduh, Munna Abdu Salam, 34, dan isterinya, Fatima Abul Hashim, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut yang mempunyai hak pemeliharaan ke atas bayi berusia 10 bulan didakwa menganiayai mangsa sehingga menyebabkan kematian.
Kesalahan dilakukan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 10 malam, 17 Disember lalu.
Mahkamah tidak membenarkan Munna dan Fatima diikat jamin. Hakim menetapkan tarikh 10 Februari ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE