SHAH ALAM – Tidur lena ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah tapak pembinaan di Seksyen U12 di sini, terhenti apabila digempur pihak berkuasa awal pagi tadi.
Serbuan bermula pukul 1 pagi itu kemudiannya bertukar ruih apabila warga asing berlari lintang pukang selain ada bertindak bersembunyi di bilik tangki air dan celah katil bagi mengelak dicekup.
Selain itu, ada warga asing cuba memperdayakan pegawai penguat kuasa dengan mendakwa kononnya sudah diperiksa bagi mengelak pemeriksaan lanjut.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi selama lebih dua jam itu telah memeriksa seramai 400 warga asing dan menahan 154 daripada mereka.
“Mereka yang ditahan melibatkan 64 warga Bangladesh, Indonesia (56), Myanmar (27), Nepal (lima) dan seorang warga India. Kesemua warga asing itu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke pejabat JIM Selangor di sini, bagi tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Hasil tinjauan juga mendapati beberapa blok yang menempatkan bilik asrama pekerja asing itu dalam keadaan tidak teratur dan berbau.- KOSMO! ONLINE