KUANTAN – Taktik sebuah restoran memasukkan minyak masak peket ke dalam botol bagi mengelak dikesan menggunakan minyak masak bersubsidi membawa padah apabila berjaya dikesan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, dalam pemeriksaan di sebuah restoran di sini pada pukul 11.42 pagi semalam pemilik restoran berkenaan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana menggunakan minyak peket bersubsidi.
“Hasil semakan yang dibuat mendapati terdapat bekalan minyak masak peket bersubsidi sebanyak 112 kilogram di dalam premis berkenaan yang melebihi had simpanan dibenarkan.
“Sebanyak 112 kilogram minyak masak peket bersubsidi serta dokumen-dokumen perniagaan lain yang berkaitan disita untuk tujuan siasatan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah AKB 1961 kerana memiliki barang kawalan berjadual melebihi had yang disyaratkan.-KOSMO! ONLINE