TOKYO – Seorang lelaki di Jepun menjadi perhatian ramai kerana menawarkan perkhidmatan memberi pujian kepada sesiapa sahaja di jalanan dengan mengenakan bayaran yang murah, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Lelaki dikenali sebagai Uncle Praise, 43, memulakan perkhidmatan itu selepas kehilangan pekerjaan dan dibuang oleh keluarganya akibat masalah ketagihan judi.
Idea menawarkan perkhidmatan memuji orang itu tercetus apabila dia menjadi gelandangan dan memerlukan wang untuk meneruskan hidup.
Uncle Praise berjalan di sekitar bandar-bandar di Jepun sambil memegang sekeping kadbod bertulis ‘Saya akan memuji anda’.
“Jika orang ramai menikmati perkhidmatan itu, saya juga akan gembira. Ini menyebabkan saya dapat melakukannya selama tiga tahun yang lalu,” kata Uncle Praise.
Menurutnya, dia telah mengembara ke 31 daripada 47 wilayah dalam negara untuk menawarkan perkhidmatan itu selepas menjadi tular di media sosial.
“Jika saya dapat memuji lebih 30 pelanggan dalam sehari, saya akan memperoleh kira-kira 10,000 yen (RM290),” tambahnya. – AGENSI