LONDON – Graham Potter secara rasmi dilantik sebagai pengurus baharu West Ham United dan bersedia mengemudi kelab itu keluar daripada kemelut prestasi buruk selepas pasukan itu memecat Julen Lopetegui kelmarin.
Pemecatan Lopetegui hadir selepas enam bulan di Stadium London disebabkan West Ham hanya meraih enam kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini yang menyebabkan mereka terperosok di tangga ke-14, tujuh mata di atas zon penyingkiran.
“Kekalahan 1-4 kepada Manchester City menjadi kemuncak kepada keputusan sukar ini. Separuh pertama musim 2024/25 tidak mencapai aspirasi kelab dan tindakan ini perlu untuk mencapai objektif kami,” menurut kenyataan rasmi West Ham.
Keputusan itu juga menyaksikan staf kejurulatihan Lopetegui termasuk pembantu utamanya, Pablo Sanz dan ketua penganalisis, Juan Vicente Peinado turut dilepaskan oleh kelab tersebut.
“Kami berterima kasih atas usaha mereka dan mengucapkan selamat maju jaya,” tambah kenyataan itu.
Berdasarkan laporan-laporan di England, Potter dikatakan menerima beberapa tawaran sejak dipecat Chelsea pada April 2023 tetapi memilih West Ham kerana yakin dengan kestabilan pengurusan kelab dan potensi besar para pemain pasukan itu.
Potter yang dipercayai diberikan tempoh percubaan enam bulan sebulan ditawarkan kontrak tetap selama dua tahun setengah jika berjaya menghadirkan perubahan positif dalam baki musim ini. – AGENSI