JAKARTA – Seorang polis wanita di Surabaya, wilayah Jawa Timur menjadi perhatian pengguna media sosial kerana mempunyai wajah jelita dan disamakan dengan aktres Korea Selatan, Han So-hee, lapor portal berita Wolipop semalam.
Febby Feronica Herlanda, 28, mula meraih perhatian selepas memuat naik gambar dia dalam satu acara rasmi kenaikan pangkat Polis Republik Indonesia bahagian Polis Jawa Timur.
Menurut wanita lebih mesra disapa Eby itu, pada masa ini dia berkhidmat dalam bahagian perkhidmatan Sijil Rekod Polis (SKCK) dan keselamatan demonstrasi.
“Disebabkan saya bekerja di belakang tabir, saya hanya berinteraksi dengan orang ramai ketika berada dalam perkhidmatan SKCK, dan ketika mengadakan demonstrasi.
“Saya pernah dibaling botol air mineral yang masih penuh ketika acara demonstrasi,” katanya yang berkongsikan cabaran bergelar anggota polis.
Bagaimanapun, Eby berkata, dia mendapat sokongan kuat daripada ibu dan bapanya untuk menjadi anggota polis dan menyukai kerjayanya.
Mengenai hantarannya yang tular dan wajahnya yang disamakan dengan selebriti Korea Selatan, Eby berkata, dia berasa kurang selesa dengan pujian tersebut kerana ia memberi kesan negatif kepadanya.
“Saya mendapat kritikan. Namun sekali lagi, saya tidak layak menerima pujian itu,” kata ibu tunggal kepada seorang anak berusia lima tahun itu. – AGENSI