KUALA SELANGOR – ‘Saya tidak menghalalkan sesen pun wang dan harta yang dicuri hasil titik peluh perniagaan itu.”
Demikian kata Nor Amirudin Kemi, 25, pemilik sebuah kafe makanan ala barat di Kampung Bukit Hijau, Jeram di sini, yang kerugian RM1,100 selepas premisnya dipecah masuk penjenayah, semalam.
Dalam kejadian awal pagi itu, suspek dipercayai memotong wayar sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan mengopak tingkap jeriji besi premis itu.
Menurut Nor Amirudin, perkara itu disedari seorang pekerjanya yang datang ke kafe berkenaan untuk persiapan berniaga, kira-kira pukul 4.40 pagi.
“Saya yang sedang tidur menerima panggilan telefon pekerja memaklumkan kafe dimasuki pencuri selepas tingkap kafe didapati dikopak dan terbuka.
“Selain itu, meja kaunter bersepah dan beberapa barangan hilang termasuk mesin juruwang tunai, pembesar suara dan sejumlah duit syiling. Wayar CCTV kafe turut dipotong pencuri itu,” katanya ketika ditemui di lokasi itu hari ini. – KOSMO! ONLINE