SERI KEMBANGAN – “Pelanggan yang suruh tampal pelekat dapur muslim di restoran ini, bukan kita sengaja letak demi tarik mereka”
Itu alasan yang diberikan pemilik sebuah restoran makanan panas sekitar Balakong, di sini, apabila premisnya yang tidak mempunyai sijil halal diserbu agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kira-kira 12 tengah hari ini.
Ketika serbuan, dua tukang masak telah meloloskan diri dan hanya tinggal seorang pelayan wanita dipercayai warga asing berusia lewat 30-an memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa seterusnya menghubungi pemilik restoran.
Hasil tinjauan Kosmo! mendapati premis itu menyediakan dua kertas menu berbeza yang mana salah satu daripadanya mempunyai hidangan tidak halal.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Kajang, Ruhaizad Zahiri berkata, serbuan itu dibuat selepas pemantauan selama seminggu ekoran aduan orang ramai yang diterima.
Katanya, premis ini menggunakan perbahasaan yang menunjukkan makanan boleh dimakan orang Islam iaitu penggunaan pelekat ‘Muslim Kitchen’.
“Dalam pemeriksaan ini kita menemui beberapa perkara di bawah Jais di bawah Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 kerana tidak mempunyai sijil halal.
“Siasatan akan dijalankan oleh JAIS bawah peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011 manakala di bawah kuasa KPDN, kita telah buat pemeriksaan penggunaan barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula, tepung gandum.
“Secara keseluruhannya, di bawah bidang KPDN mendapati premis ini mematuhi dari aspek pemilikan had kuota barangan kawalan,” katanya ketika sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Ruhaizad, kesemua banner dan pelekat telah diturunkan dari premis yang baru beroperasi empat bulan itu bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang ramai.
“Sekiranya didapati bersalah, pemilik premis boleh dikenakan denda, kompaun atau di bawa ke mahkamah mengikut akta siasatan dijalankan,” jelasnya.
Beliau berharap, serbuan ini khususnya dalam konteks halal akan memberikan isyarat kepada mana-mana peniaga kedai makan atau restoran untuk lebih cakna mendapatkan maklumat yang sahih untuk menjalankan perniagaan yang patuh kepada peruntukkan perundangan yang sedang berkuatkuasa.
“Ia juga sebagai satu pesanan buat seluruh pengguna agar terus menjadi mata dan telinga agensi penguatkuasa.
“Kita juga ingatkan peniaga kedai makan tidak menggunakan perbahasaan yang boleh meragukan orang Islam sedang tiada pensijilan halal,” ujarnya lagi. -KOSMO! ONLINE