PETALING JAYA – Seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hati apabila makanan yang dipesannya dalam keadaan mencurigakan, seolah-olah telah dimakan oleh orang lain.
Menerusi perkongsian oleh @aroy_shem di Threads, lelaki itu memesan ayam gepuk daripada sebuah restoran terkenal ketika sedang bekerja, namun kecewa apabila mendapati ayam dalam bekas makanan kelihatan seperti telah disentuh atau dimakan.
“Benda paling tak boleh diterima akal. Aku tengah kerja dan rasa lapar jadi aku order (pesan) lah ayam gepuk dekat platform e-dagang. Bila sampai, dapat makanan yang orang dah makan dan ayam sejuk,” katanya.
Dia turut menjelaskan bahawa tidak mahu menuduh secara melulu sama ada pekerja restoran atau penghantar makanan yang menyentuh makanannya, namun tetap kecewa jika benar dirinya dianiaya.
Apabila ditanya oleh seorang pengguna media sosial mengenai tindakannya, lelaki itu menjawab bahawa dia membuang makanan tersebut dan memesan ayam gepuk dari restoran lain.
Hantaran itu telah meraih perhatian ramai pengguna media sosial yang turut meluahkan rasa simpati terhadap pengalaman lelaki tersebut, selain berkongsi insiden serupa yang pernah mereka alami.
“Hari tu, saya pun pesan makanan segera guna e-dagang, ayam satu hilang dan burger hilang. Beg kertas dah terkoyak, bila text (mesej) balik rider (penghantar), dia tak mengaku,” kongsi Sage.
“Entah-entah mereka tertukar dengan customer (pelanggan) yang tak habis makan request (minta) nak takeaway (bungkus),” ujar Winn untuk bersangka baik.
“Sekarang kalau beli online (atas talian), saya wajib rakam video unboxing (buka kotak) sebab selalu mereka lupa letak sambal dan kicap. Kadang-kadang sayur. Entah apa-apa lah,” komen Sharina Sufian. – KOSMO! ONLINE