KOTA BHARU – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri tabung derma di sebuah kedai runcit di Pengkalan Chepa di sini pada minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Saiful Ismail, 28, yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah manakala isterinya, Nor Fatin Afiqah Shaari, 19, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri tabung derma berisi wang dari kedai runcit milik Akbar Ali Alimudin, 27, di Beris Panchor, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 12.44 tengah hari pada 3 Januari lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 kepada Muhammad Saiful dan menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin kepada isterinya.
Mahkamah turut menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokuman. Pasangan suami isteri itu membayar denda dan jaminan yang ditetapkan mahkamah.
Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat di media sosial pada 4 Januari lalu yang memaparkan pasangan suami isteri menaiki sebuah motosikal masuk ke dalam kedai runcit sebelum membawa lari tabung yang berada berdekatan kaunter wang di kedai runcit – KOSMO! ONLINE