RIYADH – Pemain sensasi Al-Hilal, Neymar bertekad untuk kembali berada pada prestasi terbaik bagi memastikan misi untuk diserap dalam skuad kebangsaan Brazil menjelang kejohanan berprestij Piala Dunia 2026 tahun depan.
Sebagai rekod, Neymar ketika ini masih lagi belum cergas selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika mewakili Brazil pada Oktober 2023 sehingga terpaksa berehat lebih setahun.
Namun, Neymar yang kini berusia 33 tahun percaya saingan Piala Dunia 2026 yang bakal dianjurkan di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico bakal menjadi medan terakhir untuk menyarung jersi Selecao di pentas antarabangsa.
“Saya tetap berusaha untuk kembali beraksi secara konsisten kerana saya mahu berada dalam pasukan kebangsaan pada tahun depan. Ini adalah pentas Piala Dunia terakhir dan saya akan bekerja keras sehingga impian itu menjadi realiti,” katanya.
Sementara itu, Neymar tidak menolak kemungkinan untuk ‘angkat kaki’ daripada Al-Hilal dan berhijrah menyertai Lionel Messi dan Luis Suarez yang ketika ini mewakili kelab Liga Bola Sepak AS (MLS), Inter Miami.
“Sudah tentu saya tidak akan menolak sebarang peluang jika dapat kembali bermain dengan Messi dan Suarez kerana kami masih memiliki hubungan yang akrab. Buat masa ini, saya gembira di Al-Hilal tetapi tiada apa yang mustahil dalam bola sepak,” katanya.
Sebelum ini gandingan Neymar-Messi-Suarez dianggap sebagai nadi utama kejayaan skuad Barcelona ketika menjuarai gelaran treble pada musim 2015 sebelum Neymar mengambil keputusan untuk berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) pada 2017. – AGENSI