Bukan tidak pernah menonton konsert penyanyi dari Indonesia yang seorang ini. Sejujurnya sudah banyak kali tetapi untuk konsert Afgan Live In Penang tempoh hari, perasaannya sangat berbeza berbanding persembahan-persembahan terdahulu.
Berlangsung pada penghujung tahun 2024 di Setia Spice Arena Pulau Pinang, acara tersebut menjadi konsert terbesar Afgan sepanjang kariernya menyaksikan sekitar 6,000 penonton hadir. Ya, di negara kelahirannya sendiri pun, belum pernah Afgan punya konsert sebesar itu.
Jadi konsert berkenaan tentunya sesuatu yang istimewa dan luar biasa menjadi detik mahal dalam sejarah perjalanan karier seni Afgan atau nama lengkapnya Afgansyah Reza, 36, itu.
Telahan penulis ternyata tepat. Memang konsert berkenaan adalah persembahan terbaik yang pernah dilunaskan Afgan. Jika sebelum ini hanya konsert di dalam dewan, kali ini di dalam arena, suasananya berbeza.
Inilah skala konsert yang sebenar dengan rekaan pentas yang gah serta sistem pencahayaan dan bunyi yang bertaraf antarabangsa. Melihat Afgan di pentas sebegitu, persis menonton konsert artis K-pop.
Bercakap soal persembahan, vokal Afgan antara yang terbaik yang penulis pernah dengar.
Paling menusuk jiwa pastinya tatkala dia mengalunkan rangkaikan lagu galaunya seperti Jodoh Pasti Bertemu, Untukmu Aku Bertahan, Jalan Terus, Bukan Cinta Biasa dan Terima Kasih Cinta.
Afgan juga memberikan persembahan yang penuh energi menerusi lagu-lagu berentak rancak seperti Dia Dia Dia, Pesan Cinta, Lenggang Puspita dan Panah Asmara.
Afgan turut cemerlang menyampaikan lagu-lagu Inggerisnya seperti Shallow Water, Knock Me Out, Criminal dan Say I’m Sorry. Turut dipersembahkan lagu daripada dua idolanya Ku Mohon dendangan asal Datuk Sheila Majid dan Bukan Cinta Biasa (Datuk Seri Siti Nurhaliza). Ini adalah versi Bukan Cinta Biasa terbaik yang pernah penulis dengar daripada penyanyi lelaki.
Komunikasi Afgan bersama penonton juga semakin baik. Dia kelihatan sangat bersahaja dan semakin pintar bergurau. Ada sahaja teletah lucunya yang mencuit hati peminat. Tetapi antara yang paling menjadi perhatian tentunya tatkala dia cuba bertutur dalam loghat Utara. Gamat jadinya seluruh arena dengan sorakan ribuan peminat.
“Hangpa semua apa habaq? Dah minum ayaq ke belum? Saya sangat gembira dapat berada di sini. Terima kasih kepada anda semua kerana sudi bersama dengan saya di konsert terbesar sepanjang karier saya sebagai seorang penyanyi.
Tip mengurat
“Lebih istimewa konsert ini berlaku di sini, Pulau Pinang. Walaupun ini kali pertama saya ke Pulau Pinang, tetapi sudah menjadi sejarah terbesar dalam hidup saya. Aku cinta hangpa semua,” katanya.
Afgan juga sempat bergurau ingin mencari jodoh di Pulau Pinang yang membuatkan peminat-peminat wanitanya bersorak bagaikan terkena histeria.
“Ada yang mahu jadi jodoh saya di sini? Mahu pindah ke Jakarta? Nak jadi jodoh saya mudah sahaja. Syaratnya kena pandai masak masakan padang. Nasi padang, rendang, sambal berlado dan sambal hijau. Kalau pandai masak semua ini, boleh jadi isteri saya,” katanya yang mengundang tawa ramai.
Lebih menggamatkan suasana sehingga keadaan hampir tidak terkawal apabila Afgan tiba-tiba turun dari pentas menyapa para peminatnya. Bagaikan rusuhan tatkala peminat dari belakang bangun dan berpusu-pusu ke hadapan untuk melihat idola mereka dengan lebih dekat.
Mengakhiri persembahannya, Afgan mengajak penonton berdansa dan berdiri di hadapan pentas tatkala dia mendendangkan lagu Panah Asmara. Bagaikan berpesta semua peminat-peminatnya saat diajak ke hadapan sambil menyanyi dan berdansa.
Tuntasnya, biarpun konsert ini tidak ‘sold out’ tetapi ia masih menjadi konsert terbesar dan terbaik yang pernah dilakukan oleh Afgan. Mungkin kerana faktor tarikh menyebabkan konsert ini tidak ‘sold out’ kerana hampir dengan penghujung tahun.
Semoga Strategy X Entertainment dapat membawa konsert berskala sebegini ke Kuala Lumpur juga suatu hari nanti.