LONDON – Juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez percaya perpindahannya ke pasukan utama Ducati memberikan peluang terbaik untuk memburu gelaran MotoGP pada musim 2025 dan 2026.
Pelumba Sepanyol berusia 31 tahun itu kembali dengan status pelumba utama bersama Ducati selepas setahun bersama pasukan satelit Ducati, Gresini.
Gresini membantu Marquez menemui semula prestasi cemerlangnya setelah bergelut akibat kecederaan selain kegagalan Honda menyediakan jentera terbaik sehingga menjejaskan prestasinya.
Setelah memenangi tiga perlumbaan dan meraih tempat bersama Ducati, Marquez mengakui bahawa tahun bersama Gresini adalah tempoh kebangkitannya.
“Musim 2025 dan 2026 akan menjadi dua peluang keemasan buat saya. Kita tidak tahu sama ada ini yang terakhir atau tidak, tetapi ia adalah peluang terbaik untuk merebut gelaran kerana kami berada dalam pasukan terbaik dan akan memberikan 100 peratus usaha kami.
“Namun, kami harus melalui pramusim terlebih dahulu. Sudah tentu dengan semangat yang ada, kami akan bermula dengan misi yang tinggi.
“Tetapi, harapan saya adalah agar tidak berdepan kecederaan. Sebagai matlamat, saya ingin bertarung untuk gelaran dunia hingga perlumbaan terakhir,” kata Marquez.
Marquez telah turun menguji jentera Desmosedici GP24 dan GP25 selepas menghabiskan musim 2024 dengan GP23. – AGENSI